Thursday, April 24, 2014

Legenda Mata Air unta putih


Etnik Salar merupakan salah satu dari 10 etnik minoritas yang beragama Islam di China sejak 800 tahun yang lalu. Mereka kebanyakannya tinggal di daerah Autonomi Xunhua yang berpenduduk etnik Salar, bahagian tenggara provinsi Qinghai.

Daerah Jiezi di Xunhua merupakan tempat kediaman pertama bagi etnik Salar ketika mereka hijrah dari Asia Tengah ratusan tahun yang lalu. Sebuah patung batu unta putih yang terletak di tengah persimpangan jalan merupakan simbol atau tanda bagi kediaman etnis Salar di Xunhua.

Unta putih dianggap sebagai lambang etnik Salar. Terdapat sebuah legenda yang luar biasa mengenai unta putih yang menceritakan tentang perjalanan etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Xunhua. "Mata Air Unta Putih", tempat unta putih dalam legenda itu singgah, terletak di sebuah belukar yang sunyi dan terpencil di kampung Sanlanbahai, daerah Jiezi. Terdapat sebuah patung batu unta duduk di tepi mata air tersebut. Wajah unta itu tenang.

Konon, pada lebih 800 tahun yang lalu, terdapat etnik Salar yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua etnik Salar, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyat setempat sehingga beliau dicemburui oleh Maharaja negara itu. Maka etnik salar yang dipimpin oleh beliau terpaksa hijrah ke timur untuk mengelakkan kemungkinan ditimpa malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari sebuah tempat kediaman yang damai dan harmoni.

Setelah bertolak menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih, mereka melintasi gunung dan melintasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya mereka tiba di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Sewaktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta naskah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.

Orang orang amat terkejut dengan keajaiban yang terjadi itu. Air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di tepi mata air tersebut. Sejak itulah, mereka menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik setempat  seperti etnik Tibet dan lain-lain.

0 komentar:

Post a Comment

Terima Kasih atas Komentar anda.
Thanks for your Comments.